Thursday 12 July 2012

Tentang Zain & Wembley - Cergas

Tanpa melengahkan masa, Zain terus membuka TV sebaik sahaja menutup pintu bilik hotel bernombor H-311. Wanita di kaunter 'check-in' hairan kenapa Zain beria-ia sangat mahukan nombor bilik itu. 




Seperti hotel tiga bintang lain yang berselerak di kota London, Haven Hotel tempat Zain menginap tiada skyTV. Yang ada hanyalah BBC One, BBC Two, ITV dan Channel4. Saluran yang sama seperti TV1, 2 dan 3 di Malaysia, banyak memaparkan program yang lemau. Zain pasrah lagi.

"Apalah nasib aku ni. Dua minggu di London, tempat macam ini yang company sediakan?

"Celaka, celaka, celaka. Memang balik KL ni aku nak resign".

Hati kecil Zain menyumpah-nyumpah comel. Dia ke tingkap dan merenung jauh. Merenung masa hadapan, merenung masa lampau dan mengharapkan impiannya ke Wembley untuk final Piala FA nanti tercapai.




Letih merenung, dia perlahan-lahan meletakkan beg besar berisi baju, makanan dan Macbook diperut katil lalu duduk dihujungnya. Telefon bimbit yang juga Zain bawa diletakkan atas meja. Tiba-tiba Zain teringatkan sesuatu dan bergegas mencapai kembali Blackberry Bold 9000 tadi. Signal "wi-fi" melantun-lantun tanda ada.

"Yes!"

Zain gembira dan dengan pantas mengangkat ganggang mendail operator hotel.

"Hello.

"Hi, I'm calling from room H-311. I see that I have wi-fi access in my room.

Suara dihujung talian jelas menerpa gegendang telinga Zain. Dia khusyuk mendengar.

"Ok. It's free for hotel tenants then?

Sejurus selepas bertanya, Zain tabah menanti jawapan.

"Ok. Alright. The user is 'guest' and the password is? G.U.E.S.T.1.2.3. Ok, thanks. Thanks luv."

Usai meletakkan telefon, Zain melompat 'stage dive' ke katil.

"Tak jadi aku nak resign.

"Hmm..Bau apa yang kepam sangat ni?"

Zain menghidu-hidu badannya yang sudah mula melekit, tersengih lalu terus membuka baju dan seluar jeans bersaiz 37. Seluar bersaiz 'rare' itu dicampak ke tepi pintu bilik mandi dan Zain terus berlenggang masuk.

"Zas, zas, zas". Bunyi air menyirami tubuh Zain. Ini disusuli oleh 20 saat yang sunyi, sessi menyapu sabun kebadan sebelum bunyi zas tadi kembali berdesing, berkali-kali, hinggalah Zain rasa cukup bersih.

Selesai lap badan dan memakai baju, Zain menekan butang 'ON' alat kawalan jauh TV dan melayan rancangan TV yang sedia ada.

5 minit berlalu.

30 minit berlalu.

Tanpa disedari sudah 3 jam Zain menatap Channel4 di TV. Barulah dia sedar bahawa selemau-lemau mana pun, siaran percuma yang keudara di England banyak berunsurkan pengetahuan seperti dokumentari dan kisah kehidupan yang agak menarik jika dilayan. Program realitinya sahaja jauh lebih mantap dari Akademi Fantasia dan Masterchef Celebrity.

Macbook Pro 13 inci miliknya dibuka. Kini tiba masa untuk Zain menghantar panggilan 'S.O.S' kepada rakan-rakan 'reds' yang ada di U.K. Kesemua laman web dan forum LFC yang popular telah Zain singgah dan tinggalkan pesanan ringkas.

"Hi, my name is Zain from Malaysia. I'm here in London, six thousand miles away from home to watch Liverpool play the FA Cup finals in Wembley and I'm looking for tickets. Please help. I can be contacted at IamZain [at] gmail [dot] com".

Selesai menutup Macbook, Zain ke tepi tingkap lagi untuk kembali merenung jauh dengan tangan mengusap-usap rambut bertujuan untuk mempercepatkan pengeringannya.

"Come on you reds, dont let me down. Not this time.

"Esok,mesti cergas beli kad pra-bayar untuk Blackberry aku".

Detus hati Zain sambil tangannya masih menyapu mesra ubun kepala dan rambut tanpa sedikit pun gusar tentang kursus yang sepatutnya dia hadiri keesokan hari.

Malam kian berlalu dan menjadi semakin suram. Zain pasti azan subuh sedang berkumandang di kampung.

(... bersambung)

Edisi yang lepas:

1. Tentang Zain & Wembley
2. Tentang Zain & Wembley - Tiba di London
3. Tentang Zain & Wembley - Tiba di London, Bahagian 2

No comments:

Post a Comment