Tuesday 19 June 2012

Tentang Zain & Wembley - Tiba di London, Bahagian 2.



"Ketak ketuk, ketak ketuk, ketak ketuk."

Zain amati bunyi tayar keretapi Heathrow Express yang sedang dinaikinya meluncur diatas landasan besi. Zain pasti frekuensi bunyi yang dikeluarkan disini berbeza dari frekuensi bunyi yang dihasilkan oleh tayar LRT di Kuala Lumpur.

"Kualiti pembinaan berbeza agaknya."

Fikiran Zain yang penuh dengan konsep fizik, mengeluh.




Pandangan mata Zain terpana melihat keadaan diluar gerabak yang cerah dilimpahi sinar mentari walau lembab. Peninggalan embun pagi tadi masih jelas kelihatan namun kini molekul-molekulnya mula aktif setelah dipalun tenaga cahaya, bersusun, tidak sabar untuk memelowap naik kelangit.

"Nyaman betul musim panas ni. Santai di Hyde Park mesti cemerlang," detus hati kecil Zain sementara fikirannya terbayang gadis-gadis London yang genit berseluar jeans potong paras pangkal peha, memakai kit replika Liverpool saiz XS, bermain rollerblade dilaluan pejalan kaki taman terbesar di tengah-tengah kota London itu.

"Paddington Station!"

Suara garau dan kuat bergegar keluar dari celah-celah corong sistem PA mengejutkan Zain dari lamunan gadis-gadis rollerblade berambut ikal melambai-lambai lembut ditiup angin.

Turun dari Heathrow Express, Zain mengheret beg trolinya yang sarat dengan baju, dokumen, laptop dan makanan segera jenama 'Brahim'. Sambil mengheret, mata Zain menjeling jam ditangan yang sudah menunjukkan waktu sarapan yang telah lama berlalu. Perut Zain mencerut-cerut kelaparan dan beberapa kali telah memalukannya diatas keretapi kerana berbunyi terlalu kuat. Walaupun dia cuba menekan bahagian perut kiri dengan siku untuk mengurangkan aktiviti keroncong perut, dia gagal. Seorang lelaki berbangsa Afrika yang duduk disebelah kanan Zain didalam keretapi tadi terpana mendengar bunyi yang datang dari sebelah kiri beliau.

Jelas, perubahan cuaca dan kelembapan udara ditambah dengan kedudukan London yang berada jauh dari garisan khatulistiwa telah memberikan impak yang agak luarbiasa keatas asidifikasi perut Zain. Memang kuat bunyi perutnya tadi. Zain pasrah, menggelengkan kepala dan terus mengheret beg hingga ke mesin tiket.

'Edgware Road, One Way' ialah tiket pilihannya. Edgware Road sebenarnya dekat dan hanya satu hentian stesyen dari Paddington tetapi menarik beg tatkala orang-ramai berpusu-pusu ingin ke tempat kerja bukanlah satu idea yang bagus. Teksi juga bukanlah satu pilihan pengangkutan yang bijak di kota London.

Usai menarik tiket itu keluar dari mesin, Zain bergegas ke tepi landasan menunggu gerabak.

"Mind the gap!"

Ayat yang sinonim dengan sistem pengangkutan di London berkumandang dari pembesar suara didalam stesyen ibarat lagu tidak berirama. Zain terus menaiki keretapi yang tiba tanpa melengahkan masa. Badannya terasa amat penat.

"This train will be calling at Harrow & Wealdstone. Next stop, Warwick Avenue." Pengumuman dari pemandu menyentakkan Zain.

"Aduh."

Zain terpana lagi. Dia tahu dia sudah tersilap. Sepatutnya dia naik keretapi ke selatan, arah Elephant & Castle tetapi kini dia menuju utara.




Zain turun di stesyen Warwick Avenue dan menaiki keretapi arah selatan pula dengan harapan tiada lagi permasalahan yang akan dihadapinya pagi itu.


(... bersambung)

Edisi yang lepas:

1. Tentang Zain & Wembley
2. Tentang Zain & Wembley - Tiba di London

No comments:

Post a Comment